PETALING JAYA: Terdapat sebilangan pemilik harta di daerah Petaling Jaya tidak mengemas kini rekod pemilikan harta dan menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menghadapi kesukaran untuk menghantar notis dan bil cukai taksiran kepada pemilik harta sebenar.
Sehubungan itu, MBPJ menasihati pemilik-pemilik supaya mengemas kini rekod pemilikan harta supaya MBPJ dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sistematik.
MBPJ dalam kenyataannya berkata, penduduk boleh mengemas kini rekod pemilikan harta masing-masing melalui borang 1.
“Sekiranya terdapat pindah milik harta yang belum melalui proses penukaran kepada nama pemilik baharu, pemilik asal juga disarankan mengemas kini rekod tersebut.
“Kegagalan pemilik harta untuk memaklumkan MBPJ berhubung pindah milik tersebut boleh mengakibatkan pemilik didenda tidak lebih daripada RM2,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” kata MBPJ.
Proses mengemas kini dan pindah milik boleh dilakukan melalui permohonan bertulis kepada Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, MBPJ atau membuat permohonan melalui email MBPJ iaitu [email protected].