Pembukaan Bazar Karat JB bawa rahmat - Utusan Malaysia

Pembukaan Bazar Karat JB bawa rahmat

BAZAR Karat Johor Bahru yang terkenal dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sebelum ini ditutup selama lima bulan sebelum dibenarkan beroperasi semula di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 328 peniaga Bazar Karat Johor Bahru menarik nafas lega apabila kembali dibenarkan beroperasi semula bermula malam ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Fuad Rahmat berkata, pembukaan semula bazar itu secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan setelah Johor beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

 

FUAD RAHMAT

Katanya, berita baik itu sekali gus dapat melenyapkan episod duka pada bulan Ramadan lalu apabila mereka terpaksa menutup perniagaan tiga hari sebelum menyambut Aidilfitri setelah banyak berhabis wang ringgit untuk menambah stok jualan.

“Kesan daripada penutupan itu, banyak barangan jualan tak laku malah ada juga barangan itu kini sudah lapuk dan rosak apabila lima bulan tidak dapat berniaga.

“Kami bersyukur kini Bazar Karat Johor Bahru dibuka kembali walaupun dalam keadaan norma baharu. Kami berharap dengan pembukaan ini mampu memberi sinar kepada peniaga untuk melangsaikan hutang mereka yang makin menimbun,” katanya di sini hari ini.

Fuad berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memberi lampu hijau bagi pembukaan bazar itu dengan mematuhi SOP yang dibentangkan persatuan.

Katanya, MBJB mendengar keluhan peniaga dan memudahkan urusan pihaknya untuk kembali beroperasi dengan kelangsungan hidup.

“Terima kasih buat MBJB terutamanya Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman yang sangat prihatin dan mengerti kepayahan peniaga ketika pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Bazar tersebut yang terletak di tengah pusat bandar hanya akan menerima pengunjung yang sudah lengkap dua dos vaksin dan sudah cukup tarikh matangnya selain kanak-kanak di bawah usia 12 tahun mesti di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga serta pengunjung perlu cakna soal penjarakkan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka.

Sementara itu, kata Fuad, pengunjung disarankan untuk menggunakan pintu utama keluar dan masuk di Jalan Tan Hiok Nee 3 dan di Jalan Segget berhampiran Bank OCBC.

“Waktu operasi Bazar Karat adalah dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam bagi hari Selasa hingga Jumaat, manakala 6 petang hingga 12 tengah malam bagi hari Sabtu dan Ahad sementara tiada perniagaan pada setiap Isnin,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN