Pembubaran DUN Melaka salah - Adly Zahari - Utusan Malaysia

Pembubaran DUN Melaka salah – Adly Zahari

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu atas dakwaan perintah pembubanan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dibuat atas nasihat yang salah.

Ini kerana kata Adly, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah hilang kuasa sehari sebelum bertemu dengan Mohd. Ali sekali gus tidak layak untuk memberikan sebarang nasihat kepadanya untuk membubarkan dewan.

“Saya percaya di bawah peruntukan undang-undang Yang Dipertua Negeri Melaka hendaklah meminta Sulaiman untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri kerana telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya juga percaya mengambil langkah tepat untuk memastikan sama ada ADUN lain berkemungkinan mempunyai kepercayaan majoriti ADUN bagi tujuan mengelakkan Pilihan Raya Negeri di tengah-tengah pandemik Covid-19,” katanya di dalam afidavit sokongan beliau yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil memfailkan permohonan semakan itu selaku pemohon tunggal dan menamakan Sulaiman yang juga ADUN Lendu; Speaker Dun Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd. Ali selaku responden pertama hingga keempat.

Pada 4 Oktober lalu, bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Sulaiman berkuat kuasa serta-merta.

Sehubungan itu, pada 18 Oktober lalu, SPR dalam satu kenyataan menetapkan hari penamaan calon pada 8 November manakala hari mengundi awal pula adalah 16 November manakala 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN terpaksa diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Ab. Rauf berhubung pembubaran DUN ke-14 itu.

Oleh itu, Adly antara lain memohon deklarasi tindakan Sulaiman menasihati Mohd. Ali untuk membubarkan dewan adalah tidak sah dan terbatal, berniat jahat (mala fide), tidak wajar dan tidak masuk akal.

Beliau juga memohon proklamasi pembubaran DUN Melaka bertarikh 5 Oktober adalah tidak sah dan terbatal serta-merta.

Selain itu, Adly memohon perintah bahawa notis Speaker Dewan kepada SPR berhubung pembubaran dewan itu adalah terbatal dan writ PRN juga dibatalkan serta-merta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN