PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang yang ditemukan maut terjatuh sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Pulau Pinang awal pagi tadi dipercayai belum sempat memberi keterangan di mahkamah.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, mangsa sepatutnya menjadi saksi utama membabitkan kes skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Kata sumber itu, bagaimanapun, mayat mangsa ditemukan pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan kira-kira pukul 5 pagi di kawasan kondominium berkenaan.
Ujar sumber itu, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjun dari balkoni rumahnya di tingkat 16.
“Mangsa sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi bagi kes rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut itu.
“Bagaimanapun, beliau masih belum lagi hadir untuk memberi keterangan,” kata sumber itu.
Ditanya punca mangsa terjun dari kediamannya, sumber berkata beliau tidak menghidap apa-apa penyakit dan tidak mempunyai masalah perniagaan atau kewangan.
“Mangsa telah tinggal di kediaman berkenaan bersama isteri dan dua anaknya.
“Malah, kali terakhir mangsa bersemuka dengan mereka adalah sebelum tidur,”jelasnya. – UTUSAN ONLINE










