Pelajar tahfiz maut dalam kemalangan, bapa sempat beli jubah dan kopiah - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz maut dalam kemalangan, bapa sempat beli jubah dan kopiah

MUHAMMAD Alif Azahari maut dalam kemalangan motosikal di Kilometer 44 Jalan Merang di Setiu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang pelajar tahfiz sempat berhubung dengan bapanya sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 44, Jalan Merang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa, Muhammad Alif Azahari, 17, dari Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan motosikal rakannya, Muhammad Safwan Mohd. Sobri Suwin, 17, yang cuba mengelak lubang.

Bapanya, Azahari Abdullah, 55, berkata, kira-kira 30 minit sebelum kejadian dia sempat menghubungi anaknya bagi bertanyakan lokasi mangsa yang keluar mandi-manda bersama rakan di Hutan Lipur Lata Payung di sini.

“Mangsa memberitahu dia dalam perjalanan pulang selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

“Anak saya dijadualkan pulang ke tahfiznya di Ajil, Hulu Terengganu, esok dan semalam kami sekeluarga sempat keluar membeli barangan keperluan seperti jubah serta kopiah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mayat Muhammad Alif dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan rakannya yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Affandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya