PATI sanggup bayar RM1,200 guna bot masuk Malaysia

PATI bayar RM1,200 guna bot masuk Malaysia

KEADAAN PATI yang cuba masuk ke negara ini menggunakan bot ketika ditahan dekat Kepulauan Sembilan, Bagan Datuk, kelmarin. - FOTO/MARITIM MALAYSIA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Hasrat 21 warga Indonesia memasuki negara ini secara haram tidak kesampaian apabila enjin bot dinaiki mengalami kerosakan sehingga hanyut dua hari di laut sebelum ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot tradisional Indonesia itu ditahan di kedudukan 15.5 batu nautika barat laut Kepulauan Sembilan, Bagan Datuk, pada pukul 12.21 tengah hari kelmarin.

“Pada awalnya maklumat diterima daripada seorang wanita tempatan memaklumkan ada bot mengalami kerosakan, namun pemeriksaan oleh Bot Perkasa 1223 mendapati ia adalah bot kayu yang tiada nombor pendaftaran berasal dari Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 21 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan enam perempuan berusia 17 hingga 61 tahun di dalamnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Penahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan, di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, siasatan awal mendapati kesemua mereka bersama lima tekong bergerak dari Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia, pada pukul 3 pagi Khamis lalu dan sepatutnya tiba di Sekinchan, Selangor, kurang 12 jam kemudian.

Jelasnya, modus operandi sindiket yang membawa pendatang tanpa izin (PATI) tersebut ialah mereka akan dipindahkan ke bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga Indonesia di sempadan perairan antarabangsa, sebelum dibawa ke lokasi pantai tertentu di sekitar Sekinchan atau kawasan berhampiran dan pergi ke haluan masing-masing menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Shahrizan memberitahu, siasatan awal mendapati setiap PATI membayar RM1,200 untuk perjalanan sehala dari Indonesia ke Malaysia manakala kru bot nelayan yang terlibat diberi upah RM200 bagi setiap PATI.

Katanya, kesemua PATI itu juga didapati sudah lama berada di Malaysia termasuk mempunyai keluarga di negara ini dan kembali semula ke negara asal Julai lalu juga menggunakan cara tidak sah dengan membayar RM1,500 seorang dan kemudian mahu kembali ke negara ini.

“Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila bot dinaiki rosak dan bot nelayan yang sepatutnya mengambil mereka juga tidak dapat dihubungi, manakala lima tekong yang berada bersama mereka kemudian melarikan diri menggunakan bot lain dari Indonesia,” kata beliau.

Akibatnya, menurut Shahrizan, mereka terkapai-kapai di atas bot yang panjang hanya 12 meter dan lebar dua meter itu termasuk mengisi perut dengan memasak mi segera menggunakan air laut.

Jelas Shahrizan, semua PATI itu direman 14 hari bermula kelmarin sehingga 30 Oktober ini untuk disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tegas beliau, fokus siasatan adalah mengenal pasti kru Indonesia yang bekerja dengan bot nelayan dan menjadi ejen kepada sindiket kemasukan PATI ke negara ini selain lokasi yang dipercayai digunakan untuk pendaratan mereka.

Menurut Shahrizan, tangkapan itu adalah kes pertama melibatkan percubaan memasuki Malaysia secara haram di perairan Perak sejak Op Benteng dilaksanakan tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya