KUALA LUMPUR: Hanipa Maidin (PH-Sepang) mempersoal mengapa layanan istimewa diberi kepada Datuk Seri Najib Razak sehingga membenarkan beliau mendapat pasport antarabangsa buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.
Ini kerana jelas Hanipa, layanan tersebut tidak perlu diberikan kepada Najib kerana mendakwa beliau seorang individu yang merugikan negara, sekali gus layanan istimewa tidak wajar diberi kepadanya.
“Kerajaan kata tidak ada wang untuk dibelanja, tapi kita hairan kenapa pihak yang bertanggungjawab merugikan ekonomi negara iaitu Yang Berhormat Pekan (Najib) dalam isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), sekarang ini diberikan layanan begitu istimewa, boleh pergi Singapura untuk sekian lama, 25 Oktober sampai 6 Disember, asalnya 20 Oktober sampai 22 November.
“Kenapa dibenarkan pergi begitu lama? alasannya untuk melawat anak dia nak bersalin, dia bukan bidan sampai sebulan nak pergi sana, dia bukan bidan kalau nak lawat Singapura, mungkin pergi lima hari dah cukup, tapi dekat sebulan, adakah Yang Berhormat Pekan bidan menolong seseorang untuk melahirkan anak?” Soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.
Minggu lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.
Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua bulan hadapan.
Bagaimanapun, Najib pada 22 Oktober lalu menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.
Ia disebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ketika itu akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.-UTUSAN ONLINE










