KUALA LUMPUR: Syarikat telco diingatkan supaya tidak mengejar keuntungan dan meminggirkan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana pihaknya mendapati talian telekomunikasi yang ditawarkan di sesetengah tempat tidak setanding dengan perkhidmatan kepada pengguna, sekaligus ia menunjukkan ketidakadilan.
“Saya bagi peringatan mesra, bukan saja mereka perlu cari keuntungan tetapi kita akan pantau tahap keuntungan itu mesti dipulangkan kembali kepada perkhidmatan luar bandar.
“Kita akan buat semakan secara rawak, dan ada sesetengah tempat yang kita buat ujian, kelajuan internet bukan saja bawah 25Mbps malah ada yang bawah 10Mpbs dan 5Mbps.
“Ini satu keadaan tidak adil kepada pengguna dan kita ingin beri peringatan supaya syarikat ini untukterus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk beri perkhidmatan terbaik.” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang mahu tahu kerajaan bercadang untuk menaik taraf menara komunikasi yang ada sekarang ini kerana kebanyakan kawasan masih tidak mempunyai liputan internet atau capaian internet yang rendah.
Jelas Annuar lagi, kementerian akan memantau prestasi kewangan syarikat telco di negara ini supaya tahap keuntungannya yang diperoleh dikembalikan semula kepada perkhidmatan di luar bandar.
Mengenai pembinaan menara telekomunikasi di program Jalinan Digital Negara (Jendela), Annuar berkata, arahan kerja akan dikeluarkan bulan ini termasuk kerja-kerja pembinaan menara di Sabah dan Sarawak.
“Matlamat kita, menjelang akhir tahun ini perkhidmatan berasaskan spektrum 3G akan ditamatkan dan negara akan beralih sepenuhnya kepada perkhidmatan berasaskan spektrum 4G,” katanya.-UTUSAN ONLINE