Nora Home Deco bukan ‘kedai Pakistan’ - Utusan Malaysia

Nora Home Deco bukan ‘kedai Pakistan’

NORASLINDA Ahmad menunjukkan antara barangan perhiasan rumah yang dijual di Nora Home Deco, di Jalan Bakek, Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bermula dengan menjual pakaian kanak-kanak pada 2015, namun perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan memandangkan lokasi kedainya terletak jauh dari kawasan tumpuan ramai.

Namun ia tidak mematahkan semangat Noraslinda Ahmad, 35, seorang ibu tunggal yang kini beralih kepada perniagaan barangan keperluan rumah seperti tilam kekabu, jam dinding, meja konsol, kerusi dan pelbagai peralatan dapur.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, minat untuk membuka bisnes sendiri turut didorong oleh ahli keluarganya yang banyak terlibat dalam perniagaan lain seperti perkhidmatan katering dan restoran.

“Kadang-kadang orang ramai menganggap Nora Home Deco ini macam kedai Pakistan yang menjual tilam, cadar dan sebagainya tetapi apabila melangkah masuk ke dalam baru mereka tahu ini kedai orang Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Bakek, semalam.

Tambah Noraslinda, sebelum ini di kawasan kedainya terdapat Pontian Plaza yang turut membantu menarik perhatian orang ramai untuk singgah ke kedai­nya.

“Namun setelah pusat perniagaan itu ditutup, kawasan ini semakin lengang dan sepi tanpa pengunjung tetapi saya meneruskan juga usaha melalui kaedah pemasaran secara kebiasaan baharu,” jelasnya.

Katanya, pemasaran secara digital melalui media sosial telah membantu melonjakkan jualan barangan seperti tilam kekabu mini dan karpet yang mendapat sambutan orang ramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas Noraslinda, sambutan baik terhadap tilam kekabu itu memandangkan ia sering digunakan kanak-kanak untuk tidur atau menonton televisyen kerana tidak boleh melakukan aktiviti santai di luar sebelum ini.

“Saya juga melantik seramai 99 orang ejen di seluruh negara bagi memasarkan produk Nora Home Deco dengan penghantaran menggunakan perkhidmatan pos laju atau terus ke rumah pembeli,” katanya.

Menurutnya, bekalan barangan seperti cadar, tilam kekabu dan tuala bersaiz besar diperolehi daripada pembekal di Kuala Lumpur, manakala barangan dekorasi pula banyak diimport dari China menerusi pembelian dengan jumlah yang banyak.

Katanya, pokok-pokok hiasan seperti bunga orkid turut mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan sehingga memerlukan dia menambak stok bekalan dengan lebih banyak untuk menampung permintaan.

Ditanya mengenai cabaran pesaing dalam perniagaannya, dia menganggap perkara itu sebagai satu persaingan yang sihat dan terserah kepada pelanggan untuk membeli sekiranya berminat dengan produk jualan yang ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya