KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, tidak menolak bahawa usahanya untuk membuka perniagaan minuman francais Bubblebee yang dipelopori oleh pelawak Shuib Sepahtu adalah satu pelan B bagi mengelak kebergantungannya cuma dalam bidang seni muzik dan lakonan sahaja.
Menurut Naim, perancangan untuk mengusahakan sebuah perniagaan sudah lama dipendam namun sebelum ini dia masih tercari-cari bisnes apakah yang bersesuaian dan yakin untuk dijalankan.
“Kebetulan, saya pun penggemar minuman ringan. Jujurnya sebelum ini belum pernah ada sebarang hasrat nak buat bisnes. Tapi bila fikir semula termasuk meneliti situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mungkin adalah masa yang sesuai untuk melakukannya.
“Boleh juga kumpul-kumpul duit sebab kita tidak tahu di masa depan bagaimana. Daripada cuma menyanyi dan berlakon sahaja, mengapa tidak saya buka perniagaan ini kan? Buat sesuatu yang berbeza,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Selain itu, kata Naim, dia juga sebenarnya tidak asing dengan dunia perniagaan kerana keluarganya juga sebelum ini menceburi bidang yang sama terutama dalam cabang pengurusan makanan dan minuman (F&B).
“Keluarga saya pun pernah buka kedai makan jadi orang kata nadi berniaga itu ada pada latar belakang saya. Tergerak hati nak sertai keluarga Bubble ini pun kerana saya percaya dengan jenama ini yang telah terbukti kekal berada di pasaran sejak ia ditubuhkan.
“Tak salah juga anak muda macam saya cuba berniaga minuman ini. Produk lokal dan setanding dengan jenama daripada luar negara,”katanya.
Berkongsi mengenai kedainya yang akan dibuka di Eco Semenyih, Selangor, Naim berkata pihaknya bercadang melancarkannya pada 23 Oktober ini.
Katanya, ia juga akan menyaksikan julung kalinya cawangan Bubblebee yang terbesar dibuka dan bakal menyediakan set makanan selain rangkaian minuman jenama tersebut.
“Awalnya nak buka kedai di sekitar Cheras, tapi akhirnya setelah berbincang, buka di Semenyihlah lebih bersesuian selain faktor dekat dengan rumah saya juga. Senang nak memantau.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih dengan Shuib kerana sejak daripada awal kami berbincang, dia banyak menolong dalam memberikan buah fikiran dan menyusun strategi pemasaran. Bagi saya, dia tidak lokek ilmu dan sedaya upaya bantu saya dalam hal ini,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Naim juga melahirkan rasa lega kerana kini sudah boleh kembali bekerja setelah sektor penggambaran dibenarkan untuk beroperasi.
Kini berada di Kuala Kangsar bagi menjayakan penggambaran telemovie Rombongan Cik Kiah Ke AJL, Naim juga bakal menggerakkan kembali perancangan muziknya terutama bagi memastikan projek kerjasamanya dengan penyanyi rap dan hip hop terkenal, Joe Flizzow menjadi kenyataan.
“Lagu bersama Joe sudah siap dihasilkan cuma kami berdepan dengan kekangan untuk menjalankan penggambaran bagi muzik video semasa PKP tempoh hari. Mungkin selepas ini akan berbincang semula mengenai perkara tersebut.
“Yang nyatanya, saya pun tak sabar nak kongsikan buah tangan terbaru ini kepada peminat-peminat kami. Selain itu, projek kerjasama dengan kumpulan Dolla juga bakal menyusul kemudiannya,”katanya.