Khidmat masyarakat 12 jam kepada pembuang sampah

Khidmat masyarakat 12 jam kepada pembuang sampah

PARA pekerja pembersihan mengutip sampah yang kebanyakan terdiri daripada barangan rosak akibat banjir di sekitar Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amaran kepada indi­vi­du yang suka membuang sampah me­rata-rata. Anda bakal berdepan huku­man menjalani khidmat masyarakat se­la­ma 12 jam di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) berkuat kuasa semalam.

Selain itu, anda juga boleh di­ke­nakan hukuman lebih berat ia­itu denda antara RM2,000 hing­ga RM10,000 bagi kesalahan sama.

Perintah Khidmat Masyarakat itu termasuk mengutip sisa pe­pejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, pelaksanaan perintah berkenaan di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672 bakal bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

“Hukuman ini dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan yang sama.

“Akta 672 akan dikuatkuasakan bersama-sama Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” kata kenyataan itu.

Katanya, penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat itu adalah sebagai tambahan kepada denda tersebut dan bukan bertujuan menggantikan denda sedia ada.

“Walau bagaimanapun, hu­­­­­kuman Perintah Khidmat Masyarakat hanya boleh diperintahkan kepada pesalah selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Pesalah yang disabitkan dengan hukuman ini perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.

“Undang-undang tidak menghendaki pesalah menghabiskan tempoh 12 jam dalam satu sesi berterusan. Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah,” jelasnya.

Menurut KPKT, tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda.

“Jika disabitkan kesalahan atas ketidakpatuhan tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik dengan objektif keseluruhan langkah itu adalah untuk menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dan bukannya menghukum secara berlebihan.

Katanya, pengawasan dan penguatkuasaan akan dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa daripada agensi sedia ada seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

“KPKT juga telah menetapkan mekanisme kawalan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai semasa menangkap suspek atau ketika menyelaras perintah ini.

“Tindakan mesti disokong oleh bukti sah seperti pemerhatian langsung, kenyataan saksi, bukti foto atau video seperti yang tertakluk di bawah Akta Keterangan 1950,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN