PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyeru rakyat supaya terus memperkukuhkan perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain demi keharmonian Malaysia.
Seri Paduka turut berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi Allah Subhanahuwataala serta dikurniakan keamanan, kemajuan dan kesejahteraan berpanjangan.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut mendoakan agar tahun baharu membawa kesejahteraan serta kemakmuran berterusan kepada negara.
“Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan Tahun Baharu 2026 yang diraikan dalam suasana penuh harmoni malam semalam merupakan pemangkin awal kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Perdana Menteri berkata, ia mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia.
“Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan dalam suasana aman dan tertib.
“Moga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam. – UTUSAN










