MoU kerajaan-pembangkang kurangkan politiking melampau - PM - Utusan Malaysia

MoU kerajaan-pembangkang kurangkan politiking melampau – PM

ISMAIL Sabri Yaakob meninjau pasukan keselamatan di bawah unit Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan harapan keadaan politik kembali stabil biarpun berlaku pergolakan Kerajaan Negeri Melaka ketika ini.

Beliau berkata, tidak ada sesiapa boleh menjangkakan atau membuat spekulasi tepat apa akan terjadi dalam politik termasuk jika kemelut politik negeri itu turut ‘menjangkiti’ Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau yakin ketidaktentuan politik di negara ini kembali reda selepas kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang.

“Kita tidak tahu apa sahaja boleh berlaku dalam politik ini. Perkara mustahil boleh jadi tidak mustahil. Kita tidak boleh nak membuat spekulasi tepat apa yang akan berlaku. 

“Sekarang ini selepas MoU ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang kita lihat politik stabil bukan sahaja keadaan tenang di Parlimen, tetapi seluruh negara keadaan stabil dan rakyat gembira dengan keadaan seperti itu. Tidak berlaku politiking melampau seperti dahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di sini hari ini.

Pergolakan Kerajaan Negeri Melaka menyaksikan pihak pembangkang di negeri itu jelas tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai di peringkat Persekutuan.

Transformasi sejahtera politik dan pentadbiran dibuat selaras dengan usaha kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan beberapa transformasi Parlimen dan pentadbiran dengan pihak pembangkang hasil inisiatif Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, inisiatif MoU itu bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat selain tidak mahu orang politik di negara ini dilabelkan hanya tahu berpolitik tanpa melihat kepentingan negara.

Katanya, atas dasar itulah, MoU dimeterai dan ia menunjukkan keberhasilan apabila masing-masing menumpukan soal pembangunan sosial dan ekonomi tidak kira sama ada kerajan atau pembangkang.

“Dalam Parlimen pun kerjasama baik dan rakyat suka perkara ini berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN