Amorim sedia tinggalkan Man. United

Amorim sedia tinggalkan Man. United

Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou (kiri) mententeramkan Ruben Amorin selepas perlawanan akhir Liga Europa di Bilbao, Sepanyol, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILBAO: Ruben Amorim bersedia untuk melepaskan jawatan selaku pengurus Manchester United tanpa sebarang pampasan selepas The Red Devils tumpas 0-1 kepada Tottenham dalam final Liga Europa, semalam.

Biarpun menguasai perlawanan tersebut, United dihukum menerusi jaringan tunggal Brennan Johnson pada babak pertama untuk menamatkan penantian 17 tahun Spurs untuk menjulang trofi, 

Kekalahan tersebut juga ‘menyempurnakan’ musim paling buruk dalam sejarah moden The Red Devils yang kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL)

Prestasi semasa anak buah Amorim bakal menyaksikan United menamatkan kempen dengan kedudukan terendah sejak mereka tersingkir dari liga utama pada 1974, satu statistik yang amat memalukan buat kelab gergasi England itu.

Amorim, yang dilantik menggantikan Erik ten Hag  November lalu, kelihatan cukup emosional dalam sidang media pasca perlawanan, namun tetap berpegang teguh pada falsafahnya.

“Jika lembaga pengarah dan penyokong rasa saya bukan orang yang sesuai, saya akan pergi esok juga tanpa sebarang perbincangan soal pampasan.

“Tapi saya tidak akan letak jawatan. Saya masih percaya dengan cara saya dan saya takkan ubah apa-apa,” katanya.

Bekas jurulatih Sporting Lisbon itu hanya mencatat enam kemenangan liga sejak membimbing United, walaupun mengambil alih ketika kelab masih berpeluang merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

Kini, mereka 27 mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga kelima.

Amorim menolak untuk bercakap mengenai masa depan kelab atau perancangannya musim depan.

“Sekarang bukan masa untuk bercakap soal itu. Kami perlu hadap kekalahan ini, dan rasa pedihnya. Saya rasa kami pasukan lebih baik malam ini, tapi bila anda tak boleh jaringkan gol, sukar untuk menang,” katanya.

Dengan hanya satu aksi liga menentang Aston Villa berbaki hujung minggu ini, masa depan Amorim semakin samar dan tekanan terhadapnya dijangka terus memuncak di Old Trafford. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN