MARANG: Pas menganggap tiada keperluan mengadakan raya negeri (PRN) berasingan dalam gabungan SG4, sebaliknya mengesyorkan supaya ia dijalankan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama politik selain memudahkan rakyat menunaikan tangungjawab mengundi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk melihat kewajaran membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri SG4 yang berada di bawah pentadbiran mereka, namun pendekatan mengadakannya serentak dengan PRU16 dilihat lebih relevan.
“Tidak payah negeri lah, buat PRU terus. Buat semua sekali termasuk negeri-negeri. Buat sekali gus tidak cerewet sangat, lepas satu-satu (perlu mengundi), rakyat kasihanlah,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya membuktikan keikhlasan kerjasama politik melalui agihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) dalam gabungan SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis).
Mohamad dilaporkan berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4 khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik untuk menjalin kerjasama.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, cadangan itu boleh membuktikan sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar ikhlas atau sekadar menguntungkan satu pihak. – UTUSAN










