Pengambilan pil perancang tingkat risiko strok

Pengambilan pil perancang tingkat risiko strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kajian terbaharu mendedahkan berjuta-juta wanita yang mengambil pil perancang kombinasi berisiko mengalami strok secara mengejut tanpa sebab yang jelas.

Kajian yang melibatkan analisis data lebih 500 wanita itu mendapati mereka yang menggunakan pil perancang gabungan atau lebih dikenali sebagai ‘The Pill’ tiga kali ganda lebih berisiko mengalami strok berbanding wanita yang tidak mengambilnya.

Lebih membimbangkan, para penyelidik tidak menemui kaitan ketara antara pil berkenaan dengan faktor risiko strok yang diketahui seperti tekanan darah tinggi, migrain dan obesiti, sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa ubat itu sendiri menjadi penyebab utama.

Menurut Ketua Penyelidik yang juga pakar neurologi dari Universiti Istanbul, Dr. Mine Sezgin, penemuan itu memberi implikasi besar terhadap penggunaan pil perancang terutamanya dalam kalangan wanita yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

“Kajian kami mengesahkan bukti terdahulu yang mengaitkan pil perancang dengan risiko strok dan seharusnya mendorong penilaian risiko lebih teliti dalam kalangan wanita muda, khususnya mereka yang mempunyai faktor risiko tambahan,” katanya.

Tambah beliau, hasil kajian ini boleh membantu menentukan pilihan kaedah kontraseptif yang lebih peribadi dan bersesuaian dengan latar belakang kesihatan individu wanita.

Justeru, pasukan penyelidik mengesyorkan agar para pengamal perubatan lebih berhati-hati ketika menetapkan pil perancang kombinasi kepada wanita yang berisiko tinggi menghidap strok.

Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama kajian seumpama itu mengaitkan pil perancang dengan risiko strok.

Pakar-pakar bebas sebelum ini juga menasihatkan agar wanita tidak berhenti menggunakan kontraseptif semata-mata berdasarkan keputusan kajian, memandangkan risiko strok dalam kalangan wanita sihat kekal rendah.

Malah, pakar turut menegaskan kehamilan itu sendiri mengandungi risiko strok yang tinggi berbanding penggunaan pil perancang kerana ia mengandungi hormon estrogen dan progestogen yang bertindak mencegah ovari daripada mengeluarkan telur pada setiap bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN