Mohd. Diya, anggota bomba lemas meninggal dunia selepas lebih 10 jam bertarung nyawa - Utusan Malaysia

Mohd. Diya, anggota bomba lemas meninggal dunia selepas lebih 10 jam bertarung nyawa

- FB NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas lebih 10 jam bertarung nyawa, anggota bomba yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, di sini petang semalam disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka, awal pagi tadi.

Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, 46, yang merupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.11 pagi tadi.

Berita dukacita itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa, PBK II (KUP) Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang terlibat dalam kejadian lemas di Sungai Putat, Melaka telah meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

“Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya.

Menurutnya, insiden berkenaan berlaku pada pukul 5.06 petang ketika Allahyarham cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air banjir meningkat dengan cepat.

“Ketika menjalankan operasi penyelamatan, Mohd. Diya bagaimanapun telah tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

“Beliau kemudiannya diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya.

Tambahnya, Allahyarham bagaimanapun dilaporkan tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia, tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu, ketika melaksanakan operasi tersebut, kesemua anggota terlibat telah menggunakan alat pelindungan diri (life jacket) semasa membuat penyelamatan secara water crossing di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, berita sedih itu turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebooknya.

“Dapat berita sedih tadi. Anggota bomba yang bantu mangsa banjir semalam telah kembali ke Rahmatullah kira-kira 3.11 pagi tadi.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh dan seluruh warga JBPM Negeri Melaka.

“Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan hamba-hambaNya yang soleh,” ujar Najib. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.