MELAKA: Kes jangkitan harian Covid-19 yang sedikit tinggi di negeri ini menyebabkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) terpaksa ditangguhkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Melaka dijangka beralih ke Fasa 4 pada minggu ketiga bulan ini.
Kata beliau, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, Melaka sepatutnya sudah boleh beralih ke fasa empat bersama Pahang.
“Keputusan peralihan ini ditangguhkan selepas trend jangkitan Covid-19 menunjukkan sedikit kenaikan dan ada masanya turun naik.
“Perkara ini akan diputuskan semula pada minggu depan. Insya-Allah minggu ketiga Melaka boleh beralih ke Fasa 4,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021 peringkat negeri di Hotel MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Zailee Dollah.
Melaka beralih ke Fasa 3 PPN pada 1 Oktober lalu.
Sementara itu, mengenai peranan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Sulaiman berkata, barisan Exco masih menjalankan tugas seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah kerajaan sementara (caretaker), sudah pasti terdapat beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Kerajaan sementara ada hadnya. Saya selaku Ketua Menteri bersama barisan Exco akan membantu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad untuk memastikan kelancaran pengurusan pentadbiran.
“Selain itu, bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa akan dapat terus dipantau,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE