BEIJING: China meneruskan hari kedua latihan ketenteraan menggunakan peluru hidup di sekitar Taiwan hari ini, yang disifatkan sebagai simulasi sekatan terhadap pelabuhan utama pulau itu serta serangan ke atas sasaran maritim, sekali gus meningkatkan ketegangan di Selat Taiwan.
Latihan dua hari yang dinamakan “Justice Mission 2025” itu bermula Isnin dan dikritik keras oleh Taipei sebagai tindakan ugutan ketenteraan.
Beijing menegaskan Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatannya dan tidak menolak penggunaan kekuatan bagi mengambil alih pulau yang ditadbir sendiri itu.
Wartawan AFP di Pingtan, pulau China yang paling hampir dengan Taiwan, menyaksikan beberapa roket dilancarkan ke udara sekitar 9 pagi waktu tempatan, meninggalkan jejak asap putih dan menghasilkan dentuman kuat yang bergema di kawasan sekitar.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan memaklumkan Komando Teater Timur melaksanakan latihan tembakan jarak jauh di perairan utara Taiwan dan mencapai objektif yang ditetapkan.
China turut mengerahkan kapal pemusnah, frigat, pesawat pejuang dan pengebom bagi menguji keupayaan sekatan bersepadu darat, laut dan udara.
Latihan tersebut diadakan susulan penjualan senjata berskala besar Amerika Syarikat kepada Taiwan serta kenyataan Jepun bahawa penggunaan kekerasan terhadap pulau itu boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan Tokyo.
Beijing memberi amaran campur tangan kuasa luar akan mendorong keadaan ke arah konflik.
Pihak berkuasa Taiwan pula mengecam latihan itu sebagai mengabaikan norma antarabangsa. Kementerian Pertahanannya berkata sebanyak 130 pesawat tentera China, 14 kapal tentera laut dan beberapa kapal kerajaan dikesan berhampiran pulau itu dalam tempoh 24 jam, sambil menyifatkan Beijing sebagai ancaman terbesar kepada keamanan serantau.











