Trump dakwa tentera AS musnahkan dok pelabuhan bot seludup dadah dari Venezuela - Utusan Malaysia

Trump dakwa tentera AS musnahkan dok pelabuhan bot seludup dadah dari Venezuela

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan tenteranya memusnahkan sebuah kawasan dok pelabuhan yang didakwa menempatkan bot penyeludupan dadah dari Venezuela.

Trump berkata, satu letupan besar berlaku di kawasan dok berkenaan yang menurutnya menjadi lokasi utama bot-bot sarat dadah berlepas.

“Kami telah memusnahkan bot-bot itu dan kini kami memusnahkan kawasan pelaksanaannya. Kawasan itu sudah tidak wujud lagi,” katanya kepada pemberita di resort Mar-a-Lago ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada operasi itu dilakukan oleh tentera AS atau Agensi Perisikan Pusat (CIA), selain tidak mendedahkan lokasi sebenar serangan, kecuali menyatakan ia berlaku di kawasan pesisir pantai.

Mengulas hubungannya dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Trump berkata mereka ada berhubung baru-baru ini, namun perbualan itu tidak membawa hasil. Beliau sebelum ini dituduh Maduro cuba menjatuhkan rejim pemerintah Venezuela melalui tekanan ketenteraan dan ekonomi.

Kenyataan Trump itu dibuat selepas beliau memberi bayangan dalam satu temu bual radio minggu lalu mengenai pemusnahan sebuah kemudahan besar yang didakwa menjadi pusat penghantaran bot dadah.

Setakat ini, kerajaan Venezuela belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan itu, manakala Pentagon merujuk pertanyaan media kepada Rumah Putih yang turut belum memberi maklum balas.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Amerika Syarikat mengumumkan satu lagi serangan ke atas sebuah bot di Lautan Pasifik Timur yang mengorbankan dua orang, menjadikan jumlah kematian akibat operasi maritim sejak September lalu sekurang-kurangnya 107 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×