SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Malah, Ketua Pembangkang Selangor itu turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa pada tarikh sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu berkata, beliau sebelum ini dilantik oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal turut mengumumkan pengunduran sebagai Pengerusi PN Johor selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan Pengerusi PN pusat.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor Pas menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau berkata, pihaknya menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN.
Namun Pemuda PN dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan keputusan atas nama PN mestilah dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam majlis tertinggi PN, selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.
Katanya, keputusan yang dibuat atas nama PN bukan hak mutlak bagi mana-mana parti komponen secara unilateral. – UTUSAN











