PUTRAJAYA: Malaysia hari ini menafikan sekeras-kerasnya laporan berita memetik Menteri Israel kononnya akan menormalisasi hubungan dengan negara rejim Zionis itu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah malah menyangkal kandungan wawancara Erem News bahawa Malaysia konon bakal menyertai Abraham Accords atau Perjanjian Ibrahim.
“Malaysia masih berpendirian teguh menzahirkan komitmen sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin dalam menentang pencerobohan dan pendudukan haram Israel,” tegasnya.
Kelmarin, portal berbahasa Arab berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu melaporkan kononnya Malaysia bersama Qatar, Tunisia dan Oman akan memeterai perjanjian berkenaan.
Erem News yang ditubuhkan sejak 2013 itu memetik kenyataan Menteri Kerjasama Serantau Israel, Esawi Frej yang melawat UAE dan bertemu Menteri Luar, Sheikh Abdullah Zayed.
Abraham Accords ialah kenyataan deklarasi bersama UAE dan Bahrain dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di White House, Washington DC yang ditandatangani pada tahun lalu bersempena nama Nabi Ibrahim yang menjadi kepercayaan penganut Muslim dan Yahudi kepada akidah satu tuhan sebagai simbolik jalinan diplomatik Israel dengan negara Islam.
Sebelum itu, Israel sudah lama ada hubungan diplomatik dengan Turki, Mesir dan Jordan, namun perjanjian tersebut menyaksikan pula Maghribi dan Sudan turut mengikut jejak serupa.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pendirian Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu akan terus menyebelahi perjuangan Palestin yang menderita akibat dasar diskriminasi ganas rejim Israel.
“Malah peranan Malaysia kekal aktif agenda dua hala dengan Palestin di peringkat serantau dan antarabangsa sejajar aspirasi kebebasan hidup bernegara rakyatnya,” kata beliau.
Ini ujarnya, termasuk menyokong misi pembentukan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sepenuhnya daripada cengkaman penjajahan Israel lebih 70 tahun.
Pada masa sama katanya, Malaysia juga terus menyediakan segala sokongan moral dan politik selain bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin membina semula negara itu meliputi organisasi antarabangsa termasuk Agensi Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) serta pelbagai badan sukarela lain. – UTUSAN ONLINE