Malaysia kutuk Israel bina 3,000 rumah pendatang haram Yahudi di Palestin - Utusan Malaysia

Malaysia kutuk Israel bina 3,000 rumah pendatang haram Yahudi di Palestin

ORANG ramai menyertai demonstrasi menyokong Palestin di Brooklyn, New York pada 31 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Israel membina lebih 3,000 unit kediaman di kawasan diduduki secara haram di wilayah Palestin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan rejim Zionis itu memperluaskan penempatan haram termasuk di Baitulmuqaddis Timur melanggar perundangan antarabangsa.

“Ia jelas mencabuli undang-undang sejagat di bawah Konvensyen Geneva Keempat berkaitan Perlindungan Orang Awam ketika Perang dimeterai pada 1949,” katanya menerusi kenyataan.

Malah, beliau dalam nada kesal dan kecewa berkata, tindakan biadab Israel itu mengingkari Resolusi 2334 diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 2016.

Media antarabangsa semalam mendedahkan usaha angkuh rejim Tel Aviv meluluskan projek pembinaan 1,244 unit rumah dan meneruskan 1,800 unit lagi yang sebelumnya terbengkalai.

Tindakan bongkak Israel itu turut dikecam Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas serta 12 negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut senada membantah projek perumahan haram tersebut ketika menghubungi Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz.

Saifuddin menambah, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa bangkit menekan Israel agar membekukan cadangan penempatan peneroka haram Yahudi itu.

“Langkah ini boleh dilakukan dengan semua negara bertindak menamatkan sebarang urusan perniagaan dengan firma yang ada kaitan dengan aktiviti pembinaan kawasan itu,” tegasnya.

Beliau mengingatkan Israel bahawa rejim Zionis itu bertanggungjawab atas dasar apartheid di wilayah diduduki Palestin melalui pengusiran penduduk dan pemusnahan kediaman mereka.

Jelasnya, sikap degil tegar Israel itu terus menjadi penghalang utama dalam usaha dunia terus mencari keamanan dan penyelesaian adil selama lebih 70 tahun konflik tercetus di Palestin.

Pada masa sama jelas beliau, warga Palestin sebenarnya berhak menikmati hak asasi untuk hidup bernegara secara berdaulat dan mentadbir tanah air sendiri tanpa tekanan Israel.

“Malaysia akan terus memberikan sokongan padu kepada Palestin dan meneruskan agenda secara aktif bagi memenuhi aspirasi suci Palestin yang bebas merdeka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN