Malaysia jadi transit hampir 400kg methamphetamine bernilai RM14.33 juta - Utusan Malaysia

Malaysia jadi transit hampir 400kg methamphetamine bernilai RM14.33 juta

RAZARUDIN Husain (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah bernilai RM14.33 juta yang dirampas sambil diperhatikan Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menyeludup methamphetamine berjumlah lebih 398.2 kilogram (kg) dengan nilai RM14.33 juta.

Rampasan itu hasil pemeriksaan ke atas kontena yang dibawa dari Guatemala sebelum menemukan 14 guni berisi dadah itu di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini pada 12 tengah hari, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pembongkaran aktiviti sindiket dadah antarabangsa itu hasil perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) yang memaklumkan kontena itu disyaki membawa muatan dadah.

Beliau berkata, polis percaya sindiket terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup keluar ke negara ketiga dengan mengisytiharkan sebagai barangan sah.

“Bagi kes ini, dadah tersebut ditemukan dalam kontena yang membawa muatan 100 guni biji kopi. Bagi mengelak dikesan, bungkusan dadah itu disimpan dalam guni bersama serbuk pencuci. 

“Tetapi dengan menggunakan peralatan ‘backscatter’, hasil imbasan yang dibuat mengesan perbezaan dalam imej tersebut yang disyaki membawa kontraban atau dadah.

“Apabila kontena dibuka, kita dapati kontena yang diisytiharkan membawa muatan biji kopi namun dicelah-celah bungkusan itu terdapat 14 guni dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Yang hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Razarudin berkata, setakat ini tidak ada tangkapan dibuat susulan rampasan dadah berkenaan, namun PDRM sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa untuk melakukan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket.

“Seperti yang kita tahu, Guatemala bukanlah negara pengeluar dadah. Negara itu terletak di Selatan Mexico yang merupakan negara pengeluar kokain dan syabu. 

“Kontena itu dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal melalui Panama, Shanghai, dan PTP sebelum akan dibawa ke Manila, Filipina,” katanya.

Tambahnya, hasil rampasan dadah itu dipercayai dapat digunakan kepada 1.99 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kes terbabit tidak mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah di Australia yang dilaporkan membabitkan rakyat negara ini, baru-baru ini.

Menurut Razarudin, satu mesyuarat khas bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan diadakan bagi memastikan negara ini tidak dijadikan hub pengedaran dadah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya