Majlis Peguam langgar undang-undang, diperintah bayar ganti rugi - Utusan Malaysia

Majlis Peguam langgar undang-undang, diperintah bayar ganti rugi

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH dan TOMMY THOMAS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Peguam diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas sebulat suara membenarkan rayuan peguam terbabit berhubung peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jumlah ganti rugi itu akan diarahkan untuk ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut sebelum ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Tan Sri Rohana Yusuf dan bersidang bersama-sama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Vernon Ong memutuskan demikian selepas mendapati majlis itu telah melakukan kesalahan tort dengan melanggar undang-undang di bawah Akta Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung ganti rugi terhadap dua lagi responden iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas (yang merupakan seorang peguam ketika tuntutan difailkan) dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V. C. George kerana mereka bukanlah badan berkanun yang tertakluk di bawah akta tersebut.

Terdahulu, ketika membacakan penghakiman, Hakim Abdul Rahman menyatakan, Seksyen 99(1) LPA 1976 memperuntukkan bahawa sebarang aduan mengenai kelakuan mana-mana peguam bela dan peguam cara atau mana-mana pelatih hendaklah dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib.

“Bertentangan dengan kehendak undang-undang ini, Tommy Thomas dan Tan Sri VC George telah mengusulkan kepada Majlis Peguam supaya perayu (Muhammad Shafee) dikutuk sekeras-kerasnya (condemn in the strongest terms) atas aduan salah laku beliau.

“Selain daripada penggunaan prosedur yang salah oleh Tommy Thomas dan Tan Sri VC George di dalam mengemukakan aduan salah laku terhadap perayu, Majlis Peguam melakukan pelanggaran undang-undang yang jauh lebih serius apabila menerbitkan usul tersebut di laman web dan membentangkannya untuk resolusi di AGM (Mesyuarat Agung Tahunan),” kata hakim itu.

Pada 19 Ogos 2020, Muhammad Shafee beroleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah beliau terhadap Majlis Peguam dan tiga lagi berkaitan peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat II, Anwar.

Muhammad Shafee memfailkan saman itu pada Mac 2015 mendakwa pada 28 Februari 2015, Tommy yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya