Majikan gaji pekerja asing perlu mohon perakuan pematuhan

Majikan gaji pekerja asing perlu mohon perakuan pematuhan

ELYA Marini Darmin (kiri) sedang mendengar penjelasan daripada penyelia sebuah syarikat perabot semasa pemeriksaan yang dibuat MPK di Taman Perindustrian Meru, Klang, Selangor, hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Majikan di daerah ini yang menggajikan pekerja asing diwajib mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sebagai salah satu kaedah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pematuhan itu termasuklah keperluan menambah baik kemudahan asrama pekerja bagi mematuhi Akta Standard Minimum, Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Hal demikian dimaklumkan Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin yang memberitahu kengganan majikan berbuat demikian boleh didenda sehingga RM250,000 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Sehubungan dengan saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), kami telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) dan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) pada Mac lalu sebagai rujukan kepada pihak majikan bagaimana mereka hendak menempatkan pekerja mereka.

“Setakat ini, lebih 200 permohonan CCC daripada syarikat di daerah ini supaya pihak kami membuat pemeriksaan terhadap asrama pekerja mereka, seperti yang termaktub dalam Akta 446,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan terhadap sebuah kilang perabot di Jalan Korporat 2, Taman Perindustrian Meru, di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan mengingatkan semua majikan supaya menyediakan penempatan pekerja mereka seperti yang termaktub dalam akta berkenaan.

Sehingga bulan Jun lalu menurutnya, sebanyak 125 kertas siasatan berhubung pelanggaran pelbagai kesalahan di bawah akta itu  telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara.

Sehingga Mac lalu, kata Elya Marini, pihaknya belum lagi mengeluarkan sebarang kompaun terhadap mana-mana syarikat yang gagal mengikut CCC.

“Mana-mana majikan yang ingin memohon CCC ini boleh menghadiri Jabatan Perancang Bandar dan Desa atau melalui portal rasmi MPK,” katanya.

Melihat borang CCC yang dikeluarkan MPK, syarikat perlu mengemukakan pelan pembangunan yang mereka hendak bina kepada majlis tersebut sebelum membangunkannya.

Terdahulu, pelbagai sektor ekonomi di negara ini khususnya di Selangor termasuk perindustrian dibenarkan beroperasi secara berperingkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 16 Julai lalu dan masuk Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.