SEREMBAN: Orang ramai digesa dan dinasihatkan supaya melupuskan kit ujian kendiri Covid-19 yang digunakan mereka mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak membuangnya secara merata-rata.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, sekiranya ia dilupus secara tidak selamat dan teratur, ia akan memberi risiko kepada orang lain dan pekerja-pekerja yang menjalankan kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.
“Mereka perlu mengikut panduan yang ditetapkan termasuk untuk memasukkan kembali kit ujian itu ke dalam plastik. Ia perlu dibungkus elok serta dibuang ke dalam tong sampah yang kemudian lupuskan sisa berkenaan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zahir berkata, pihaknya akan terus melaksanakan Projek Taman Inspirasiku (MyiNsPark) yang merupakan program penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti kitar semula dan pengindahan taman perumaham.
“Ia mampu untuk menceriakan serta memastikan kawasan tempat tinggal mereka (orang ramai) menjadi lebih bersih dan memupuk masyarakat menjaga kebersihan.
“Projek itu telah bermula awal tahun ini dan ia akan diadakan secara berterusan melibatkan lebih taman-taman perumahan lain di negeri ini,” tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan turut mempergiatkan semula kempen membuang sampah ke dalam tong sampah bagi meningkatkan kesedaran amalan kebersihan kepada masyarakat.
Jelasnya, untuk tujuan itu, SWCorp akan mengedarkan poster kempen kesedaran itu kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Ia supaya perkara tersebut dapat dikongsikan bersama dengan masyarakat agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan. -UTUSAN ONLINE