Lihat semula tata sejagat demi dunia lebih baik - PM - Utusan Malaysia

Lihat semula tata sejagat demi dunia lebih baik – PM

SMAIL Sabri Yaakob berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemimpin dunia diseru agar menilai semula tata sejagat dengan mengambil pengajaran isu pengagihan vaksin Covid-19 yang mewujudkan jurang ketara antara negara.

Perkara itu antara empat agenda disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-16 secara maya di sini.

“Dalam pandangan isu penyaluran bekalan vaksin, kita perlu melihat semula tata sejagat serta wajib melakar satu aliran baharu yang lebih ke depan dalam siap siaga pandemik berikutnya.

“Satu senibina keselamatan kesihatan global yang baharu harus dibangunkan berlandaskan perkongsian komitmen, tanggungjawab bersama, ketelusan dan nilai akauntabiliti,” tegasnya.

Persidangan forum tahunan itu dipengerusikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dengan Brunei selaku tuan rumah dan dihadiri pemimpin dari 18 negara termasuk kesemua anggota ASEAN.

Sejak edisi pertama pada 2005 lalu di Kuala Lumpur yang dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, EAS kini turut disertai beberapa kuasa besar ekonomi dunia.

Ini meliputi kehadiran para pemimpin kerajaan dari Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, India, Australia dan Jepun selain negara rakan ASEAN iaitu Korea Selatan dan New Zealand.

Ismail Sabri yang juga julung kali menyertai acara itu berkata, isu Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kehidupan, malahan membongkar sikap tamak negara tertentu.

“Dunia menyaksikan rekod pantas usaha pembuatan vaksin yang selamat dan efektif, namun sedihnya, pengagihan bekalan pula tidak adil dan berat sebelah,” katanya dalam nada kesal.

Jelasnya, semangat nasionalisme dan persaingan geopolitik telah membentuk sikap kerajaan dan organisasi sejagat tertentu yang mengutamakan kepentingan dan ketidakseimbangan.

Justeru dengan mengambil iktibar itu, Malaysia menyokong penuh Deklarasi Pelbagai Hala Pemimpin ASEAN yang diusahakan Brunei untuk resolusi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38.

Beliau turut membangkitkan isu etnik Rohingya dari Myanmar dan mendesak negara itu agar menunjukkan komitmen usaha penghantaran semula pelarian tersebut di negara tumpang.

Malaysia jelasnya, tidak pernah meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 namun masih ada lagi sifat kemanusiaan memberi pelarian itu perlindungan sementara.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Malaysia kekal dengan pendirian perairan itu perlu tiada campur tangan atau provokasi mana-mana negara selaras undang-undang antarabangsa.

“Dalam isu perubahan iklim, Malaysia komited mengurangkan ketumpatan karbon sehingga paras 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya