Saham AMSB dibuka tidak berubah di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Saham AMSB dibuka tidak berubah di Pasaran ACE

PENGERUSI Bukan Bebas Bukan Eksekutif AMS Advanced Material Berhad, Fazrin Azwar Md Nor (lima dari kiri) bersama Keith Keh Teng Yang (enam dari kanan) serta barisan tetamu kehormat lain pada majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AMS Advanced Material Berhad (AMSB), pakar aluminium yang membekal serta memproses pelbagai produk aluminium memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 29 sen, menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja dagangan bermula, kaunter tersebut menyusut 0.5 sen atau 1.72 peratus kepada 28.5 sen setakat pukul 9 pagi, dengan 16.9 juta saham bertukar tangan. 

Tekanan jualan awal menyaksikan saham syarikat sempat mencecah paras terendah 28 sen sejurus selepas penyenaraian.

Meskipun bermula hambar, syarikat itu sebelum ini menerima respons luar biasa daripada pelabur dengan lebihan langganan sebanyak 9.03 kali, mencerminkan permintaan kukuh terhadap prospek perniagaannya yang terkait dengan pemulihan sektor semikonduktor.

Pengarah Urusan AMSB, Keith Keh Teng Yang berkata, pihaknya kini dalam kedudukan strategik untuk mengukuhkan kehadiran di utara tanah air melalui pembukaan kemudahan Gudang Pengilangan Berlesen (LMW) baharu di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang merupakan salah satu hab semikonduktor utama Malaysia dengan tumpuan syarikat berorientasikan eksport serta sokongan kejuruteraan. Dengan bertapak di sana, kami meletakkan diri di tengah-tengah rantaian bekalan untuk menyediakan bahan aluminium bagi komponen ketepatan.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan peralihan pasaran ini dengan menjadi rakan kongsi tempatan pilihan kepada pemain global yang sedang mengembangkan operasi mereka di Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran penyenaraian syarikat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Keith berkata, langkah pembesaran itu perlu memandangkan kemudahan sedia ada kini beroperasi pada kapasiti hampir penuh. 

“Kilang baharu tersebut akan memberi ruang tambahan untuk syarikat menerima lebih ramai pelanggan, khususnya dalam segmen berkaitan semikonduktor.

“Selain itu, AMSB turut menyasarkan manfaat daripada peralihan struktur rantaian bekalan global menerusi strategi “China Plus One”, sambil meneroka inisiatif ekonomi kitaran dan pemprosesan aluminium bernilai lebih tinggi,” katanya. 

Bagi suku pertama berakhir tahun kewangan 2026, syarikat mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.8 juta, disokong oleh permintaan stabil daripada perniagaan berkaitan semikonduktor yang kekal menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan.

Menerusi IPO ini, AMSB berjaya mengumpul dana sebanyak RM32.8 juta yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk pengembangan kapasiti dan pembangunan produk. 

Pada harga IPO 29 sen, syarikat mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM177.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN