KOTA BHARU: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sedang menguruskan 1,000 kouta tambahan jemaah haji yang diperoleh daripada Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini berdasarkan senarai menunggu sedia ada.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ia sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji tahun ini selepas kerajaan mengemukakan permohonan tersebut.
“Kita sudah ada senarai menunggu sejak Februari lagi, jadi Tabung Haji menguruskan siapa yang layak menerima kuota tambahan tersebut.
“Proses penentuan penerima kuota berkenaan dilaksanakan TH mengikut budi bicara dan mekanisme ditetapkan agensi itu,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pelajar tadika yang menyertai kursus haji cilik di Masjid Jamek Muhammadi di sini hari ini.
Marhamah memberitahu, permohonan rayuan secara rasmi sebenarnya telah ditutup sejak Februari lalu.
Katanya, bagaimanapun ada yang mengemukakan permohonan melalui pelbagai saluran termasuk kementerian.
“Rayuan ini sangat banyak. Ada yang dibuat secara rasmi kepada Tabung Haji dan ada juga memohon melalui menteri-menteri.
“Nasihat saya kepada pemohon yang belum berjaya tahun ini agar terus bersabar dan teruskan peluang menunaikan haji pada musim akan datang. Sekiranya tahun ini tidak dapat, doalah untuk tahun depan,” ujarnya.-UTUSAN








