Baiti Jannati bantu 347 keluarga miliki kediaman selesa

Baiti Jannati bantu 347 keluarga miliki kediaman selesa

HANNAH Yeoh menyampaikan Sijil Pemilikan Unit Kediaman PBJ@Wilayah Persekutuan kepada salah seorang penerima di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 347 keluarga kini menikmati kediaman lebih selesa menerusi Program Baiti Jannati (PBJ)@Wilayah Persekutuan yang mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ia merangkumi keseluruhan rumah yang telah diserahkan kepada penerima sejak pelaksanaan program pada 2016.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 161 rumah bernilai RM8.19 juta diserahkan kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi 2026, 20 unit lagi disediakan khusus untuk tujuh Parlimen di ibu negara melibatkan golongan berpendapatan rendah.

“Agihan tahun ini melibatkan empat penerima di Parlimen Bandar Tun Razak, Batu dan Setiawangsa, tiga di Parlimen Cheras, dua masing-masing di Parlimen Lembah Pantai dan Bukit Bintang serta satu di Parlimen Wangsa Maju.

“20 unit itu merupakan tambahan terkini kepada jumlah keseluruhan, sekali gus meningkatkan lagi bilangan penerima yang mendapat manfaat secara langsung daripada program tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian PBJ@Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak di sini hari ini.

Tambah Hannah, rumah yang diberikan bukan binaan baharu sebaliknya unit sedia ada milik DBKL yang dibaik pulih sepenuhnya sebelum diserahkan kepada penerima.

Katanya, kos baik pulih bagi setiap unit dianggarkan sekitar RM50,000 dengan pembiayaan disalurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui dana zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sehingga 2025, TNB telah membelanjakan lebih RM69 juta bagi menyediakan sebanyak 997 unit rumah di seluruh negara melalui program sama.

“Buat masa ini, sebarang pemilihan penerima dibuat secara teliti berdasarkan data e-Kasih serta tapisan agensi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memastikan bantuan tepat kepada golongan memerlukan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini