PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Laskar Siber Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kononnya berlaku aktiviti rasuah membabitkan pemberian konsesi penambakan laut di Melaka.
Presidennya, Datuk Lokman Adam berkata, pihaknya mahu SPRM menyiasat dari segi ketelusan pemberian konsesi itu.
Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa, ada individu menerima habuan bagi mempengaruhi Kerajaan Negeri Melaka untuk menganugerahkan projek penambakan laut itu.
“Siasatan kami mendapati, projek penambakan itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang mana 70 peratus penguasaan sahamnya dimiliki warga asing.
“Syarikat itu didapati didaftarkan di Singapura pada 12 Jun lalu. Malah, lebih merisaukan syarikat itu turut memperoleh lesen pelabuhan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya ketika ditemui wartawan di luar bangunan SPRM di sini, hari ini.
Katanya, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan nama baik UMNO diselamatkan sebelum individu itu dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Lokman berkata, individu berkenaan dilihat boleh menjejaskan nama baik UMNO serta menjejaskan peluang kemenangan calon-calon UMNO lain yang bersih.
Menurutnya, beliau juga melihat tindakan individu itu boleh disifatkan sebagai membuka pintu negara untuk dikuasai negara asing melalui penguasaan tanah dan pelabuhan.
Selain itu, katanya, UMNO juga perlu memastikan individu bermasalah tidak dipilih sebagai calon PRN Melaka. – UTUSAN ONLINE









