KUALA LUMPUR: Tindakan penyanyi, Nubhan yang didakwa mengeluarkan barangan peribadi milik bekas isteri serta anak-anak daripada kediaman mereka tanpa pengetahuan telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan kejadian itu, satu gerakan memboikot Nubhan dikatakan semakin rancak di media sosial, malah ramai mendesak agar penyanyi terbabit disingkirkan daripada program realiti popular, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Menerusi platform Threads, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan Nubhan sebagai tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi ketika bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek bersama tiga anak mereka sedang berada di luar negara.
“Boleh tolong keluarkan Nubhan daripada semua program. Dia tidak layak jadi artis. Perbuatannya melampau dan kejam,” kata seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen menulis, “Kami tidak mahu dia jadi juara GV. Orang yang tiada akhlak dan menindas wanita tidak wajar diangkat sebagai pemenang.”
Tidak hanya itu, akaun Instagram Nubhan turut dibanjiri komen kecaman daripada orang ramai yang mendesak agar penyanyi itu tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan Nubhan tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak dijawab.
Sebelum ini, Dr. Afifah meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa barangan peribadi miliknya dan anak-anak telah dikeluarkan daripada kediaman mereka tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika beliau berada di luar negara, sekali gus membuatkan dirinya terkejut dan terkilan dengan tindakan bekas suami yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Dr. Afifah turut mendedahkan bahawa pemberian Nubhan berupa rumah dan klinik sebelum ini didakwa sekadar dijadikan sebagai kandungan media sosial.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille, 3.











