PETALING JAYA: Tiada mana-mana individu kebal daripada disiasat tanpa mengira jawatan dan kedudukan dalam struktur negara khususnya kes membabitkan pegawai tertinggi Tentera Darat yang terpalit dengan isu rasuah serta salah guna kuasa.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyokong tindakan SPRM membuka kertas siasatan secara rasmi dan langkah pentadbiran pihak berkuasa yang mengarahkan pegawai tertinggi itu direhatkan sementara daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan yang telus dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
Katanya, langkah ini bukan satu bentuk hukuman, tetapi amalan tadbir urus yang wajar demi menjaga integriti institusi.
“Saya mengambil maklum perkembangan terkini berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM susulan dakwaan berkaitan isu perolehan dan pengurusan tender.
“MCW menegaskan bahawa tiada mana-mana individu kebal daripada prinsip akauntabiliti, tanpa mengira jawatan, pangkat atau kedudukan dalam struktur negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, setiap individu berhak kepada keadilan, proses sewajarnya dan anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Jelasnya, MCW menolak pendekatan sensasi, fitnah atau perbicaraan melalui media sosial yang boleh merosakkan reputasi individu dan institusi sebelum siasatan selesai.
“Angkatan Tentera Malaysia merupakan institusi strategik negara yang menjadi benteng keselamatan dan kedaulatan.
“Sebarang dakwaan salah laku melibatkan kepimpinan tertinggi perlu ditangani secara profesional, berfakta dan berlandaskan undang-undang, agar tidak mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan pasukan,” katanya.
Beliau berpandangan isu ini tidak wajar dilihat sebagai kes individu semata-mata, tetapi perlu dijadikan pencetus reformasi sistemik terhadap proses projek dan proses perolehan pertahanan.
“Ia membabitkan ketelusan proses perolehan pertahanan, mekanisme semak dan imbang dalaman, pemantauan bebas terhadap projek bernilai tinggi serta pencegahan konflik kepentingan dalam keputusan strategik.
“MCW menyeru semua pihak termasuk ahli politik, aktivis, media dan masyarakat supaya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, tidak mempolitikkan siasatan atau membuat kesimpulan awal yang boleh menjejaskan keadilan serta memberi ruang kepada SPRM menjalankan tugas secara profesional,” katanya.
Media semalam melaporkan siasatan SPRM kini tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke akaun seorang pegawai kanan Tentera Darat selain merakam keterangan lima pemilik syarikat dengan jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil adalah 10 orang.
Sumber dilaporkan berkata, penggeledahan itu tidak menemukan wang tunai namun beberapa barangan mewah termasuk jam tangan dan beg tangan telah disita kerana dipercayai berkaitan siasatan. – UTUSAN









