PETALING JAYA: Pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai pengajaran kepada semua pemimpin agar memastikan integriti, amanah dan ketelusan sentiasa menjadi asas kepimpinan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kepercayaan rakyat perlu dibina melalui amalan tadbir urus yang telus, berhemah dan bertanggungjawab.
“Semua ahli politik tanpa mengira parti perlu menjadikan kes ini sebagai peringatan bahawa integriti bukan sekadar mengelakkan sabitan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU.
Jais berkata, MCW menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan pembebasan tersebut.
“Keputusan majoriti 2-1 yang menolak rayuan pihak pendakwaan itu perlu dihormati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman.
“Kes berkenaan membuktikan setiap individu yang didakwa mempunyai hak untuk membersihkan nama melalui keseluruhan proses perundangan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Pada masa sama, ia tidak harus ditafsirkan sebagai lesen untuk memandang ringan soal amanah, tadbir urus dan pengurusan dana organisasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MCM berpandangan bahawa keputusan itu wajar dianggap sebagai peluang kedua kepada Syed Saddiq untuk membuktikan komitmennya terhadap integriti dan kepimpinan beretika.
“Sebagai tokoh politik muda yang masih mempunyai masa depan yang panjang, beliau perlu mengambil iktibar daripada pengalaman ini.
“Selain itu, beliau perlu memastikan segala urusan kewangan, pentadbiran serta pengurusan aset awam atau parti dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan mematuhi undang-undang,” katanya. – UTUSAN









