PRK DUN Lamag: Mohd. Ismail diumum calon BN

PRK DUN Lamag: Mohd. Ismail diumum calon BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Mohd. Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha sebagai calon mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bekas calon Bebas itu akan bertanding atas tiket BN menerusi keahlian langsung.

“Keputusan itu diambil bagi memastikan kawasan Lamag tidak terpinggir serta memberi keutamaan kepada khidmat kepada rakyat berbanding meneruskan persaingan politik,” katanya hari ini.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini, Mohd. Ismail yang juga bekas ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh undi kedua tertinggi dengan 3,755 undi bagi kerusi DUN berkenaan, walaupun hanya bertanding dengan lambang kunci.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Pada PRN Sabah yang berlangsung pada 29 November lalu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan kemenangan tipis 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Januari ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 10 dan 20 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN