Kuala Selangor kawasan pertama pulih gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

Kuala Selangor kawasan pertama pulih gangguan bekalan air

AMIRUDIN Shari meletakkan plak simbolik perasmian Kerjasama Pintar antara Majlis Bandaraya Shah Alam dengan agensi kerajaan negeri sambil disaksikan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail di Auditorium MBSA di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat hingga lima peratus daripada 998 kawasan di Selangor serta Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual dialami sejak semalam mula pulih pada pukul 4 petang tadi dan Kuala Selangor menjadi daerah paling awal.

Pemulihan itu kemudian disusuli dengan kawasan berhampiran dan paling akhir dijangka menerima kembali bekalan air adalah di Andalas, Klang selewat-lewatnya pada pukul 9 malam Sabtu ini.

Hal itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, yang memberitahu walaupun kerja penyelenggaraan selesai lebih awal daripada jangkaan asal, namun kolam imbangan dan agihan perlu dipenuhkan terlebih dahulu dan memakan masa antara 12 hingga 15 jam.

“Bila kolam imbangan sudah penuh, tekanannya sempurna semakin cepat kawasan-kawasan dalam senarai itu dapat dipulihkan. Kedua-dua kolam itu kosong selama tempoh 14 jam.

“Tetapi, jangkaan hari ini oleh Air Selangor adalah empat ke lima peratus, saya tak pasti lagi berapa banyak sekarang. Menjelang esok semakin banyak tempat sehingga boleh mencecah 50 hingga ke 60 peratus kerana kolam imbangan dan agihan yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kerjasama pintar antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan beberapa agensi kerajaan negeri sempena ulang tahunnya ke-21 bagi mendekat para usahawan, peniaga dan penjaja.

Amirudin menambah, secara keseluruhan gangguan bekalan air yang berlaku kali ini adalah terkawal memandangkan ia berjadual dan orang ramai sudah pun dinasihatkan untuk menyimpan air.

Jelasnya, persediaan agensi terlibat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing juga membuat inisiatif tertentu termasuk menyediakan tangki septik tambahan untuk kemudahan pengguna.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan lebih tiga juta pengguna di 998 kawasan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula 13 Oktober lalu.

Gangguan berkenaan susulan kerja penyelenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula pukul 9 pagi dan berakhir pada 8.15 malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyelar sindiran dibuat Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil yang mendakwa gangguan bekalan air di Selangor disifatkan sebagai ‘endemik’ kerana penduduk seolah-olah perlu hidup dengan masalah itu.

Katanya, gangguan bekalan berlaku adalah disebabkan penyelenggaraan dan perlu dilakukan oleh sesiapa pun yang mentadbir kerajaan.

“Malah penyelenggaraan ini kita sudah buat selepas 27 tahun, kita hanya memerintah 13 tahun lepas.

“Pada 27 tahun, selepas dibuat (LRA SSP1) tidak diselenggara dan kita kena buat penyelenggaraan sebab pada 2016 dan 2020 pernah berlaku (gangguan air) kebocoran. Apabila paip itu bertindak balas dengan kandungan serta bahan kimia yang digunakan untuk menjernihkan serta merawat air, memberi kesan kepada paip.

“Kalau kita biarkan, ia akan bocor dan proses baik pulihnya akan mengambil masa sehingga dua minggu. Tetapi kita tak macam Kuala Terengganu lah, tak ada air sampai sebulan. Atleast dua atau tiga hari insya-Allah kita selesai dan dapat tangani,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya