SHAH ALAM: Anak kepada pelakon, Amyza Adnan, iaitu Adrian Adam, mendedahkan dia sepatutnya menjadi salah seorang peserta program Talk To My Manager sebelum terpaksa menarik diri pada saat akhir atas faktor kesihatan.
Adrian, 18, berkata, ketika menerima tawaran menyertai program tersebut, dia masih belum disahkan menghidap kanser tulang walaupun sudah mula mengalami tanda-tanda awal penyakit itu.
“Masa mereka tawarkan penyertaan itu, saya belum didiagnosis lagi. Namun ketika itu, kaki saya sudah mula terasa sakit.
“Apabila pertandingan semakin hampir ke peringkat akhir persediaan, saya rasa tidak sesuai dan kurang yakin untuk terus bertanding.
“Jadi, saya terpaksa menarik diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada konsert minggu kelima Talk To My Manager di Auditorium MBSA, Ahad lalu.
Menurut Adrian, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan ibunya dan dia percaya belum ada rezeki untuk bergelar peserta program berkenaan buat masa ini.
“Memang sukar untuk lepaskan peluang itu, tetapi demi kebaikan diri, saya kena akur. Bukan tidak sedih, cuma lebih kepada rasa terkilan kerana tidak dapat sertai pertandingan ini.
“Mungkin belum rezeki saya di situ atau waktunya belum sesuai. Saya percaya rezeki ada di tempat lain,” katanya.
Mengulas perkembangan kesihatannya, Adrian yang mesra disapa Ian bersyukur apabila keputusan ujian imbasan PET (PET scan) yang dijalani bulan lalu menunjukkan perkembangan positif.
“Alhamdulillah, keadaan saya okey, cuma kaki masih bengkak dan saya agak bergelut untuk berjalan.
“Bagaimanapun, keputusan imbasan menunjukkan kanser itu masih setempat dan tidak merebak. Itu yang membuatkan saya lega,” katanya.
Terdahulu, Adrian membuat kemunculan khas di pentas Talk To My Manager dengan menyampaikan lagu Ku Mohon sambil duduk di kerusi roda.
Kemunculan itu mendapat tepukan gemuruh penonton yang berdiri memberikan sokongan, malah barisan juri menyifatkan Adrian berpotensi memberi saingan sengit sekiranya bertanding sebagai peserta program tersebut. -UTUSAN










