PETALING JAYA: Kuching City FC mengesahkan slot Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menjadi milik mereka selepas muncul pasukan kedua terbaik Liga Super pada musim ini.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menamatkan kempen musim ini di tempat kedua selepas mereka menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 dalam aksi terakhir liga di Stadium Negeri, hari ini.
Dalam aksi tersebut, Kuching City menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan Jerome Etame pada minit ke-29 selepas berlaku situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol lawan.
KL City cuba mengatur beberapa serangan terhadap pintu gol tuan rumah namun usaha mereka untuk sekurang-kurangnya menyamai kedudukan menemui jalan buntu.
Sementara itu, dalam satu lagi liga menyaksikan Selangor FC membelasah PDRM 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu terpaksa berpuas hati menamatkan saingan liga di tempat ketiga selepas mengumpul 52 mata, kurang satu mata di belakang Kuching City.
Pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi beraksi cemerlang apabila meledak hatrik pada perlawanan tersebut masing-masing pada minit kelapan, ke-45 dan seminit sebelum tamat permainan.
Penyerang kelahiran Belanda, Alvin Fortes pula meledak dua gol masing-masing pada minit ke-27 dan ke-29 manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-53.
Walaupun mencatat kemenangan besar namun impian Selangor untuk beraksi di ACL2 pada musim hadapan tidak kesampaian.
Begitu pun, Selangor masih boleh mengubati kekecewaan mereka selepas Red Giants dijadual menentang kelab Thailand dalam final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada 20 dan 27 Mei ini. – UTUSAN










