Ketepi soal jawatan, calon fokus perkuatkan parti - Bung Moktar - Utusan Malaysia

Ketepi soal jawatan, calon fokus perkuatkan parti – Bung Moktar

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Semua pemimpin dan ahli UMNO Sabah diingatkan untuk sentiasa memperkemas jentera parti di peringkat akar umbi sebagai persediaan berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pada masa ini ketepikan dahulu isu-isu jawatan di peringkat bahagian dan juga senarai calon pada PRU akan datang.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jentera dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas ujian getir yang dihadapi oleh UMNO semasa PRU-14.

Katanya, ketua-ketua cawangan UMNO perlu mengemas kini keahlian parti bagi memudahkan gerak kerja semasa PRU akan datang.

Semakan status keahlian juga perlu dilakukan kerana sebelum ini timbul aduan daripada ahli UMNO cawangan bahawa nama mereka tidak didaftarkan.

“Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti tetapi juga, memudahkan parti membantu ahli-ahli yang berhadapan musibah agar mereka dapat dibantu dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sempena mesyuarat cawangan bermula hari ini sehingga 30 November, beliau mahu agar semua pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi untuk sentiasa menggembleng kekuatan secara bersama bagi berhadapan PRU-15.

Menurutnya, mesyuarat UMNO cawangan menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir bagi menyuarakan pandangan agar boleh membantu memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi maka, selepas kita mengadakan mesyuarat cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat bahagian dan seterusnya diangkat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, walaupun persidangan cawangan-cawangan UMNO diadakan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, ia bukan penghalang untuk ahli parti meneruskan agenda perjuangan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini juga mahu agar kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian perlu  menekankan kerja berpasukan dalam usaha membawa UMNO ke arah kecemerlangan.

Tambah beliau, peranan kerja berpasukan sangat penting untuk memastikan gerak kerja dan strategi yang dirancang di peringkat Parlimen mahupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN