JOHOR BAHRU: Pertambahan kes positif Covid-19 di Singapura tidak menjadi penghalang kepada usaha pembukaan sempadan yang menjadi pintu kepada pekerja Malaysia berulang alik ke negara republik itu.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu tidak lagi menjadi pertimbangan pembukaan sempadan setelah keadaan sudah bertambah baik dengan kadar vaksinasi di kedua-dua negara sudah meningkat.
Justeru katanya, soal turun naik kes positif Covid-19 di negara republik tidak lagi menjadi kerisauan setelah kedua-dua belah pihak bersedia bagi mencapai kata sepakat.
“Saya tak nampak itu menjadi pertimbangan dan penghalang kepada usaha yang dibincangkan.
“Kalau awal dahulu, bila Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura ditangguhkan dan Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura tidak dilakukan, kerana kita masih lagi menunggu kaedah-kaedah berdepan Covid-19 ini.
“Tapi sekarang dengan adanya pelbagai vaksin Covid-19 dan Singapura telah memikirkan dos ketiga selain menggalakkan kempen dengan setiap keluarga dibekalkan dengan kit kendiri, ia tidak lagi menjadi isu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Johor Tourism Interchange (JTI) Dan Virtual Majestic Johor Week di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta Hasni berbincang dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke negara jiran itu kerana bekerja.
Semalam, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Covid-19 Singapura dilaporkan berkata, jumlah kes Covid-19 dalam masyarakat mungkin akan menjangkau 5,000 kes sehari menjelang minggu kedua bulan ini.
Bagaimanapun, Pengerusi MTF Covid-19, Gan Kim Yong berkata, sebahagian besar mereka yang dijangkiti, sekitar 98 peratus, mungkin tidak akan menunjukkan sebarang gejala atau hanya menunjukkan simptom ringan, terutama jika mereka sudah mendapatkan vaksinasi lengkap.
Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, peringkat jawatankuasa teknikal telah bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan kerajaan negeri.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada barisan Menteri Kanan akan menetapkan tarikh untuk pembentangan.
“Jadi, bila Menteri Kanan sudah bersetuju, maka perbincangan dengan jiran Singapura akan dimulakan,” katanya. – UTUSAN









