Serangan Pakistan bunuh 11 kanak-kanak di Afghanistan

Serangan Pakistan bunuh 11 kanak-kanak di Afghanistan

TENTERA Pakistan meronda di sempadan Pakistan-Afghanistan di Chaman, wilayah Balochistan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHOST: Serangan Pakistan mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang termasuk 11 kanak-kanak di Afghanistan berhampiran sempadan kedua-dua negara, menurut pegawai kerajaan Kabul dan sumber tempatan semalam.

Ia merupakan serangan paling maut dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas tempoh keadaan yang agak tenang.

“Semalam, tentera Pakistan sekali lagi melanggar ruang udara Afghanistan dan mengebom rumah-rumah orang awam di wilayah Kunar, Khost dan Paktika.

“Susulan serangan itu, 11 kanak-kanak, seorang wanita dan seorang lelaki warga emas terbunuh,” kata jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid, menerusi kenyataan di platform X.

Seorang pegawai di wilayah Khost memberitahu AFP, sebuah rumah di daerah Spera diserang, mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 10 yang lain.

Di wilayah jiran Paktika, dua penduduk memaklumkan satu serangan berasingan mengorbankan tiga orang awam di daerah Barmal.

Menurut seorang penduduk, serangan itu mengenai sebuah rumah dan semua mangsa yang terbunuh adalah kanak-kanak.

Islamabad berulang kali menegaskan serangan di Afghanistan menyasarkan kumpulan militan yang melancarkan serangan di wilayah Pakistan dan bukan secara sengaja menyasarkan orang awam.

Sebelum ini, ketegangan meningkat dengan pertempuran sengit di kawasan sempadan serta serangan udara Pakistan yang tidak pernah berlaku ke atas bandar-bandar di Afghanistan, termasuk ibu negara Kabul dan Kandahar di selatan, iaitu tempat pemimpin tertinggi negara itu berpusat.

Sekurang-kurangnya 372 orang awam Afghanistan terbunuh dan 397 lagi cedera akibat konflik tersebut dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan bulan lalu.

Hubungan antara Pakistan dan Afghanistan kekal tegang sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021. Isu keselamatan menjadi punca utama pertikaian, khususnya tuntutan Pakistan agar Afghanistan mengekang kumpulan Tehreek-e-Taliban.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN