PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung pendedahan Kertas Pandora mengenai dakwaan wang ke luar negara secara haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, daripada itu, satu laporan polis telah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober lalu.
Katanya, satu lagi laporan polis akan dirujuk kepada bank tersebut pada Isnin ini untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita telah menerima empat laporan berhubung isu itu mengenai dakwaan tersebut.
“Kita juga turut merakam percakapan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd. Jalil berkata, dua lagi laporan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum untuk menggesa siasatan.
Hari ini, Perdana Menteri memberitahu kerajaan tidak akan menghalang tindakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang disebut dalam pendedahan Kertas Pandora berkenaan pemilikan aset kewangan luar pesisir.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian itu adalah berasaskan keterbukaan kerajaan terhadap apa jua tindakan undang-undang di negara ini.
Baru-baru ini, media melaporkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah antara nama disebut dalam pendedahan Kertas Pandora kerana mempunyai akaun luar pesisir.
Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata, BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung di dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini.










