KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani tahanan rumah adalah satu keputusan yang wajar dan perlu dibanggakan.
Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan keadilan dan peranan yang dimainkan DAP dalam usaha menjatuhkan kleptokrasi di negara ini.
Malah katanya, Najib perlu bersyukur selepas menerima pengurangan hukuman dan tempoh penjara hasil pengampunan yang diberikan Lembaga Pengampunan sebelum ini.
“Tiada sebab langsung untuk bersimpati dengan penjenayah.
“Mereka yang menegur kami supaya mempunyai kemanusiaan dan yang terus menyayangi penjenayah itu, tiada siapa yang menghalang anda.
“Tetapi jangan menghalang kami rakyat Malaysia yang lain daripada meraikan keadilan yang ditegakkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara ke atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di penjara dan bukannya dirumah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukuman di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan. – UTUSAN









