Kerajaan tidak pinggir belia - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan tidak pinggir belia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan atau meninggalkan golongan belia dalam sebarang pengumuman kepada negara termasuk Bajet 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau melihat banyak komen negatif khususnya dalam kalangan golongan belia selepas belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

Sebaliknya kata beliau, terdapat 25 insentif telah dimasukkan kerajaan dalam Bajet 2022 kepada golongan belia sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kata beliau, antara inisiatif diumumkan seperti pemberian tablet kepada siswa isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan kerajaan menanggung kira-kira RM800 bagi setiap tablet.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberi komitmen menerusi Jamin Kerja dengan 600,000 peluang pekerjaan bagi membantu golongan muda.

“Pastinya golongan belia diberikan keutamaan kerana masa depan negara bergantung kepada golongan belia, tak mungkin kita akan mengetepikan golongan ini.

“Terdapat 25 insentif kepada anak muda melalui bajet kali ini sama ada secara langsung atau tidak, cuma kita tak letakkan peruntukan kepada belia di bawah satu topik.

“Jadi, kalau ada kawan-kawan kata kerajaan tak peduli kepada anak muda, itu semua tak betul,” katanya semasa berucap sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Sehubungan itu, Ismail Sabri memberi jaminan apa sahaja kehendak dan keperluan golongan belia akan sentiasa diambil perhatian.

Hal demikian kerana, beliau sendiri sebagai Perdana Menteri merupakan bekas kepemimpinan tertinggi persatuan belia selain pernah menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

“Bila keluar saja universiti sebelum terlibat secara langsung dalam politik, saya terus menyertai pertubuhan belia.

“Jadi, saya faham apa kehendak dan keperluan belia malah jawatan menteri pertama yang saya sandang adalah Menteri Belia dan Sukan.

“Percayalah, Perdana Menteri ini asalnya daripada persatuan belia dan Kementerian Belia dan Sukan, tentu saja saya memahami aspirasi anak-anak muda serta persatuan belia,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya