Pegawai kanan polis direman bantu siasatan rasuah RM64,000

Pegawai kanan polis direman bantu siasatan rasuah RM64,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai kanan polis ditahan reman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di negeri ini.

Perintah reman sehingga 2 Mei ini terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di kediamannya yang mana siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2020 hingga 2023 ketika bertugas di salah satu daerah di Pahang.

“Suspek disyaki menerima bayaran rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya. Wang tersebut dipercayai sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap operasi premis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN