Kerajaan jamin vaksin luput tempoh tidak berlaku - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin vaksin luput tempoh tidak berlaku

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah melantik dan mengikat kontrak dengan syarikat perkhidmatan logistik yang bertanggungjawab menguruskan penghantaran vaksin ke pusat-pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

Justeru, kerajaan memberi jaminan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan isu vaksin luput tempoh sama ada ia dihantar ke kawasan bandar atau kawasan pedalaman.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua penghantaran vaksin berkenaan diiringi dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman berjalan lancar sebelum mencapai tarikh luputnya.

“Jadual penghantaran dan kuantiti dos yang dihantar ke pusat simpanan vaksin pula adalah berdasarkan keperluan negeri dengan mengambil kira kuantiti keperluan tersebut boleh dihabiskan sebelum tamat tempoh hayat vaksin.

“Semua pihak pengurusan fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) juga mengamalkan kaedah penggunaan vaksin berkonsepkan yang lebih dekat dengan tarikh luput dikeluarkan dahulu dan melaksanakan mobilisasi stok jika terdapat vaksin tidak dapat dihabiskan bagi mengelakkan pembaziran,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan Senator Datuk Paul Igai daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bimbang sekiranya vaksin Covid-19 mencapai tarikh luput sebelum tiba ke destinasi yang dituju.

Vaksin Comirnaty keluaran syarikat keluaran Pfizer-BioNTech diuruskan oleh syarikat DHL yang merupakan peneraju global dalam industri logistik dari Jerman manakala vaksin AstraZeneca diuruskan Pharmaniaga Logistik dan vaksin Convedecia oleh DKSH Holdings (Malaysia) Berhad.

Julai lalu, terdapat dakwaan mengenai individu diberikan suntikan vaksin Covid-19 yang telah melepasi tarikh luput, bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menafikannya dan laporan yang dikeluarkan tidak benar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN