KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat pembuat kereta untuk melabur di negara ini selagi mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kata Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cadangan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di negara ini.
Beliau berkata, tiada sebarang rundingan sedang berlangsung antara kerajaan dan syarikat tersebut pada masa ini.
“Tunggu sahaja pengumuman daripada mereka. Kerajaan tiada pandangan tentang perkara khusus.
“Mereka telah mengemukakan rayuan sebelum saya menyertai kementerian ini. Keputusannya ialah mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan. Bukan ditolak atau diluluskan semata-mata, tetapi mereka perlu mematuhi syarat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) di sini hari ini.
Sebelum ini, BYD dilaporkan menilai semula rancangan membuka kilang pemasangan kenderaan secara CKD di Tanjong Malim, susulan syarat terbaharu berkaitan EV yang dikenakan oleh MITI.
Berkuat kuasa 1 Julai 2026, kementerian mewajibkan nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum pada kadar RM200,000 sebuah, di samping menetapkan tahap output motor minimum kepada 180 kilowatt (kW). – UTUSAN










