Anak ditampar senator, bapa sedia bawa kes ke mahkamah - Utusan Malaysia

Anak ditampar senator, bapa sedia bawa kes ke mahkamah

TANKAP layar laporan berita cucu Tok Guru Nik Aziz yang mendakwa ditampar oleh seorang senator.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bapa kepada Nik Alif Aiman, Ir. Ariffahmi Ab. Rahman menegaskan keluarganya bersedia membawa kes melibatkan anaknya yang ditampar oleh seorang senator ke mahkamah bagi mendedahkan semua fakta yang didakwanya masih tertutup.

Ariffahmi berkata, beliau akan mendapatkan khidmat peguam terbaik bagi memastikan kebenaran dapat dibuktikan menerusi proses perundangan.

“Kami bersedia ke mahkamah dan akan memilih peguam terbaik untuk ‘melondehkan’ semua fakta yang tertutup serta yakin Allah SWT bersama dengan kebenaran dan orang-orang yang sabar,” katanya di sini hari ini.

Ariffahmi memberitahu, dia percaya anaknya, Nik Alif Aiman, bercakap benar kerana merupakan seorang pemimpin pelajar yang berwibawa dan tidak pernah berbohong terutama dalam perkara serius.

Mengulas lanjut, tempoh agak lama sebelum laporan polis dibuat bukan disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor atau sebarang urusan politik lain, sebaliknya kerana perbincangan dengan pihak universiti.

Katanya, ia bagi mencari penyelesaian tanpa melibatkan laporan polis.

Ariffahmi mendakwa bagaimanapun, pihak universiti sejak awal lagi kelihatan memihak kepada senator berkenaan selain cuba membuat kesimpulan tanpa bukti dan mahu perkara itu tidak diperbesarkan tanpa memberi keadilan kepada maruah anaknya yang didakwa tercalar.

“Isu ini menjadi semakin besar selepas pengurusan UiTM tidak menjadi orang tengah yang baik dan pendamai yang adil serta membuat keputusan seolah-olah Datuk Azhar tidak melakukan tamparan muka tanpa bukti kukuh.

“Selaku penganjur program di Janda Baik pihak universiti sepatutnya bertanggungjawab melindungi maruah dan keselamatan pemimpin pelajar yang terlibat,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 1 Jun lalu melaporan seorang mahasiswa yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN