PUTRAJAYA: Kerajaan sedang berusaha mengubah stigma melibatkan penyakit mental bagi memastikan golongan yang terkesan mendapat peluang rawatan dan dibantu tanpa perlu dipandang serong atau dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menghadapi cabaran bagi membantu golongan terbabit kerana stigma negatif masih ada terhadap mereka yang cuba dapatkan bantuan dan dianggap tidak siuman malah stigma itu perlu dibuang jauh-jauh.
Katanya, penyakit ini perlulah dinormalisasi supaya adalah normal untuk mereka yang mempunyai penyakit mental mendapatkan bantuan, rawatan dan kaunseling.
“Kerajaan sedang melakukan beberapa perkara bagi membantu golongan itu iaitu langkah pertama adalah dengan meminda undang-undang sedia ada berkaitan penyakit mental iaitu bunuh diri dan ini adalah langkah pertama untuk membuang stigma penyakit mental.
“Usaha kedua adalah dengan mengadakan kempen besar-besaran yang memberi kesedaran bahawa adalah normal seseorang yang mempunyai penyakit mental ataupun keluarga yang mempunyai ahli mereka mengalami penyakit itu mencari sokongan, bantuan dan rawatan,” katanya sempena majlis pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020-2025) dan Let’s Talk Minda Sihat sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 secara maya hari ini.
Khairy berkata, selepas buang stigma, kita akan memperkasakan sokongan akses kepada yang memerlukan supaya golongan ini tidak ketinggalan dalam mendapatkan bantuan.
“Kementerian mempunyai banyak fasiliti seperti klinik kesihatan dan semua kemudahan yang ada akan dipertingkatkan supaya mereka yang mempunyai penyakit mental dapat mendapatkan bantuan serta rawatan,” katanya.
Mengulas mengenai Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020-2025), Khairy berkata, ia dibuat bersama ramai pakar dari pelbagai bidang termasuk juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani penyakit mental yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat.
“Pelan terbabit mempunyai lapan skop utama iaitu meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan, memperkukuhkan sistem pengawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan serta kebolehcapaian perkhidmatan yang komprehensif dan berkualiti, memperkukuhkan sumber kesihatan mental, meningkatkan dan memupuk kerjasama bersama dan antara sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental.
“Ia juga bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan perkhidmatan kesihatan mental semasa kecemasan, krisis dan bencana malah turut mencegah bunuh diri dan tingkah laku ke arah bunuh diri,” katanya. – UTUSAN










